Melaka Wonderland - Tarikan Pelancongan Terbaru Di Negeri Melaka

16/06/2010 14:09

MELAKA: Taman Tema Air Melaka Wonderland yang terletak di Ayer Keroh di sini, dibuka kepada orang ramai mulai hari ini dengan menawarkan 16 aktiviti air. 

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, berkata taman tema yang mula dibina pada Ogos 2009 itu dijangka mampu menarik lebih 800,000 pengunjung setahun.

"Taman tema ini seluas 30 ekar (12 hektar) dan mempunyai 16 aktiviti air iaitu terbanyak di Malaysia," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan taman tema itu, hari ini.

Mohd Ali berkata, projek yang dibangunkan Melaka Wonderland Sdn Bhd itu menelan belanja RM80 juta, iaitu RM42 juta untuk pembinaan taman tema air manakala baki RM38 juta untuk tanah dan pembangunan lain seperti hotel yang sedang dalam pembinaan di situ. 

Katanya, hotel bertaraf empat bintang dengan 168 bilik itu yang sedang dalam pembinaan di taman tema itu akan siap dalam tempoh setahun. 

Beliau yakin taman tema itu akan menambah bilangan pelancong ke Melaka sekaligus membantu memenuhi sasaran kedatangan 8.2 juta pelancong tahun ini dengan purata bermalam selama tiga malam. 

"Sasaran ini akan berjaya dicapai sekiranya sektor ini mendapat sokongan dan pembabitan sepenuhnya daripada industri pelancongan dan penyertaan rakyat secara langsung atau tidak langsung," katanya. 
Beliau berkata, tahun lalu bilangan pelancong yang datang ke negeri ini adalah sebanyak 8.9 juta orang dengan tempoh bermalam selama dua suku malam. 

Taman tema itu dikelilingi lebih 359 hektar kawasan hutan rekreasi. - Bernama

 https://www.melakawonderland.com.my