Melaka Raih 6 Emas Lagi.

16/06/2010 14:24

 AYER KEROH, 15 Jun- 'Ratu Pecut', Nur Sarah Kadir dan 'Raja Pecut', J.Karhtik malam tadi 'memanaskan' Stadium Utama di Kompleks Sukan Hang Jebat dengan meraih emas kelima dan keenam buat Melaka menjadikan jumlah keseluruhan 25 pingat emas terkumpul setakat ini.


Kejayaan dua jaguh pecut itu turut mencatatkan rekod tertinggi kutipan harian pingat emas untuk Melaka iaitu 6 emas sejak temasya Sukan Malaysia XIII Melaka 2010 berlangsung mulai 7 Jun, lepas.

Detik bersejarah kemenangan kedua-dua jaguh pecut Melaka itu turut diraikan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Khalil Yaakob bersama Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek serta lebih 2,000 penonton yang hadir.

Mohd Khalil turut diberi penghormatan menyampaikan pingat dan cenderamata kepada Nur Sarah yang dinobatkan sebagai 'Ratu Pecut' 100 meter wanita akhir Sukan Malaysia XIII Melaka 2010. Nur Sarah mencatatkan masa 12.04 saat.

Manakala J.Karhtik membuat pecutan emas dengan catatan masa 32:37.13 dalam acara 10,000 meter.

Meskipun terpaksa berdepan dengan persaingan sengit dari atlet-atlet Wilayah Persekutuan, Kedah dan Selangor yang setakat hari ini berada di kedudukan tiga teratas, namun berbekalkan semangat kental serta sokongan padu penyokong, barisan atlet Melaka ternyata terus mara serta menguasai beberapa venue pertandingan hari ini dengan mengutip enam emas, lima perak dan satu gangsa.

Atlet Judo yang 'bertempur' hebat di Kompleks Sukan Batu Berendam berjaya meraih dua emas menerusi pasangan Ong Chiew Hui dan Yeo Lin Yee (Kata 1-Wanita Berpasangan) serta rakan sepasukan Ong Kun Xiong dan Tan Woon Kiat bagi kategori Kata 1- Lelaki Berpasangan.

Di Dewan A MITC pula, dua lagi emas diraih oleh Norliza Ithnin (Puteri E) dan Mohd Azni Salleh (Putera F).
Bagaimanapun dua lagi atlet Silat Melaka iaitu Mohd Taufek Abd Rahman (Putra A) dan Mohd Atashah Said, masing-masing turut menyumbangkan pingat perak.

Pemanah Melaka, Md Juwaidi Marzuki turut menyumbang sebutir lagi perak menerusi acara perseorangan (Pusingan Olimpik) Compound Lelaki pada persaingan sengit di Kompleks Sukan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Durian Tunggal, pagi tadi.

Di Kompleks Sukan MBMB/MSN Ayer Keroh pula, atlet menembak Melaka, Nabilah Asharza Azlan turut meraih perak menerusi acara 10Meter Air Pistol Wanita Perseorangan, manakala sebutir gangsa diraih menerusi acara 10Meter Air Pistol Wanita Berpasukan yang dibarisi oleh Nabilah Asharza Azlan, Nurfadhilah Dahniar Afandi serta Jamiah Maidin. 

Di Dewan Pusat Sukan UTeM juga, gandingan mantap Lew Sheue, Fan Xio Jun dan Ng Choo Hu turut meraih sebutir perak dalam acara berpasukan wanita.

Melaka turut meraih pingat perak di Melaka International Bowling Centre (MIBC) sekitar jam 11 malam tadi menerusi gandingan Dinie Faliq, Jason Syow Huay dan Md Shafiq Hashim dalam kategori Berpasukan Bertiga Lelaki.

Di Gelanggang Petanque Kampung Gelam, sebutir lagi perak diraih oleh atlet Melaka dalam acara perseorangan menerusi Elfira, Suharti serta Zailin Syafiqah, manakala rakan sepasukannya, Mohd Zabidi Zailan sekadar berpuashati dengan mengutip sebutir gangsa dalam acara perseorangan lelaki.

Apa pun berita gembira kejayaan anak-anak Melaka hari ini turut dikongsi serta diraikan oleh seluruh warga Melaka yang hadir beramai-ramai memenuhi tempat duduk penonton di venue-venue pertandingan.

Kehadiran ribuan penyokong setia pasukan tuan rumah ternyata menyuntikkan semangat dan bukti sokongan padu kepada mereka kepada wira-wira Melaka yang meneruskan perjuangan memburu emas di gelanggang.  SUMBER - MELAKA HARI INI.